top of page

Pemerkasaan
Pendidikan Senibina Melalui Institusi Kerjaya

01

ARTICLE

by Assoc. Prof. Dr. Mohamad Fakri Zaky Ja'afar

|   Universiti Putra Malaysia

ESSAY

Write an article

for next issue

(Artikel ini diolah dari artikel asal dengan tajuk yang sama dari blog https://fikirbina.wixsite.com/gali dengan izin)

Pendidikan senibina untuk menghasilkan arkitek negara hari ini secara asasnya ialah merupakan kursus professional yang diajar di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT). Terdapat satu isu yang sering menjadi perdebatan iaitu: adakah pendidikan senibina di universiti menyediakan tenaga mahir untuk profesion arkitek ATAU adakah ianya menyediakan pemikir dan pengkarya senibina yang membawa perubahan serta kemajuan kepada profesion arkitek itu sendiri mahupun masyarakat secara amnya. Sebenarnya kedua-dua perkara itu perlu, tetapi pada pemerhatian saya terdapat krisis di pusat pengajian tinggi yang menyebabkan ianya tidak berlaku. Terdapat rungutan yang mengatakan bahawa pelajar senibina di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) tidak mampu menjadi tenaga kerja yang mahir, dan pada masa yang sama, tidak menjadi insan kreatif yang mampu menjadi ejen perubahan positif dalam industri dan masyarakat.[i]

 

Penulisan ini mencadangkan isu ini dapat dinilai semula dan suatu saranan terhadap pendekatan pendidikan senibina yang baharu akan diutarakan. Untuk memulakan perbincangan ini, pembaca perlu memahami kerangka pendidikan senibina yang sedia ada di negara kita.


Kursus senibina yang ditawarkan di IPT di Malaysia adalah dikawalselia oleh Lembaga Arkitek Malaysia (LAM) di bawah Majlis Pengajian Senibina (MAPS). Ini bagi memastikan kursus-kursus ini relevan dengan keperluan semasa profesion arkitek. Semasa di dalam pengajian senibina, terdapat kursus berasaskan studio rekabentuk yang menjadi makmal simulasi proses rekabentuk di dalam industri. Ini yang menjadikan tempoh pengajian kursus senibina menjadi panjang. Kursus-kursus studio rekabentuk ini bersifat project based learning (PBL). Ianya merupakan proses pembelajaran yang panjang sehingga mengambil masa 10-12 jam seminggu sepanjang tempoh 5 tahun pengajian. Untuk menjadikan simulasi ini lebih realistik, tenaga pengajar daripada kalangan arkitek professional juga dijemput menjadi tutor di dalam studio tersebut. Ianya merupakan persediaan yang cukup bagus bagi melengkapkan pelajar dengan kemahiran asas apabila bekerja di dalam industri seni bina kelak. Tidak cukup dengan ini, untuk menjadi tenaga professional yang mahir, pelajar calon arkitek juga perlu memahami selok belok industri daripada segi amalan semasa; proses rekabentuk, perundangan, kejuruteraan, pengurusan, jaringan, kewangan dan lain-lain. Untuk memahami perkara-perkara amali ini pula, ianya memerlukan pengalaman yang luas dalam pekerjaan sendiri. Biasanya di IPT, aspek ini diterapkan dengan menyediakan sesi Latihan Industri (LI) yang mana pelajar akan bekerja sebagai perantis di sesebuah firma-firma seni bina dan dipantau oleh para pensyarah. Tempoh latihan ini biasanya akan mengambil masa 3 hingga 6 bulan. Selebihnya, di sepanjang masa 5 tahun pelajar akan menghadiri kursus sepenuh masa di IPT. Walaubagaimanapun, tempoh ini diakui tidak mencukupi. Seterusnya untuk menjadi arkitek professional, pelajar perlu pula melalui pengalaman industri selama setahun bekerja di bawah seorang arkitek professional untuk melayakkan mereka menduduki peperiksaan professional.


Namun sering kedengaran apabila selesai bergraduat, majikan bahkan graduan sendiri menyatakan seolah-olah graduan harus belajar dari mula apabila bekerja di dalam industri senibina. Persoalannya, adakah kursus-kursus yang dipelajari sepanjang 5 tahun di IPT tersebut sebenarnya tidak mencukupi serta berbaloikah masa, tenaga dan wang ringgit yang dicurahkan selama 5 tahun itu? Tambahan pula, seorang graduan menghabiskan 5 tahun masa hidupnya tanpa dapat menjana pendapatan. Bahkan (seandainya tiada biasiswa) mengumpul hutang (PTPTN dan sebagainya) [ii] atau menghabiskan simpanan ibubapa selama waktu itu ? Apa yang dipelajari di universiti selama 5 tahun ?


Pada pendapat saya, sebenarnya pengajian di universiti mempunyai nilai tambah yang sangat penting. Sebuah universiti sepatutnya menghasilkan graduan yang mempunyai sifat bebas, berintegriti, kreatif, berpandangan luas, pandai menilai, dinamik, bertanggungjawab, berempati dan bersimpati terhadap masyarakat dan alam. Ini boleh disimpulkan dengan ungkapan 'universal man' atau 'insan kamil'* yang menjadi objektif penubuhan universiti (sekurang-kurangnya sebelum era moden)[iii]. Namun pada hemat saya, terdapat kegagalan dalam sistem pendidikan senibina yang ada di IPT sekarang. Terdapat kekaburan daripada segi objektif ini sebagai matlamat pengajian di universiti. Ia tidak lagi menjadi tempat menghasilkan ‘universal man’ atau insan kamil ini. Sebaliknya, apa yang terjadi ialah universiti telah dijadikan kilang untuk menghasilkan 'sumber manusia' iaitu manusia yang mempunyai skil-skil tertentu yang berguna untuk industri. Dengan kata lain, universiti menjadi tempat penghasilan ejen ekonomi. Istilah sumber manusia ini sangat berkait rapat dengan paradigma kapitalis liar, yang menilai semua perkara sebagai sumber (contohnya sumber alam, sumber kewangan dan lain-lain) untuk dijadikan input dalam pengiraan kos sesuatu perniagaan) yang menjadi model ekonomi dunia kini.


Disinilah berlaku kejanggalan. Apabila kedua-dua pihak (universiti dan industri) yang sepatutnya memberi keseimbangan dalam pembentukan graduan, tidak berbuat sedemikian, Sebaliknya, kedua-duanya menghala kepada suatu objektif sahaja. Maka, yang terjadi ialah penumpuan kepada penghasilan graduan bagi memenuhi keperluan ekonomi dan industri, dengan kata lain menjadi ejen ekonomi yang mahir. Tidak jelas bagaimana universiti mampu menghasilkan graduan insan kamil (universal man) yang mempunyai ciri-ciri kebebasan berfikir, berintegriti, dan memiliki semangat sayangkan, negara, kemanusiaan serta alam. Sekiranya ada individu yang terhasil di dalam industri yang mahu dan mampu melakukan perubahan sebegini, ianya berlaku secara kebetulan daripada pengalaman hidup individu itu sendiri atau mereka bernasib baik mendapat pensyarah yang memang mempunyai semangat menghasilkan insan dan bukan setakat tenaga mahir atau daripada pendidikan keluarga yang mementingkan nilai kemanusiaan yang kamil. Maka, ianya tidak menjadi perkara yang ditentukan oleh universiti itu sendiri.

 

Di sini terdapat unsur psikosis dalam pengajian senibina. Pertama; seperti yang dibincangkan di atas, nilai tambah insan kamil (universal man) tidak berlaku di IPT disebabkan tumpuan kepada penghasilan ejen ekonomi. Kedua; ironinya, kemahiran industri yang diajar oleh institusi tidak sepenuhnya berasaskan kehendak industri semasa. Kebanyakan pensyarah bukanlah merupakan pemain industri semasa, dan fokus mereka juga terbahagi kepada penyelidikan dan penerbitan disamping perkara-perkara lain.


Oleh itu, terdapat keperluan untuk pendidikan senibina merubah paradigma sedia ada. Pertamanya, universiti harus memurnikan semula halatuju pendidikan tinggi. Ia harus kembali berfikir kaedah untuk menghasilkan insan kamil (universal man), yang mampu berjiwa bebas, berintegriti, kreatif, berempati pada insan dan alam, serta proaktif. Untuk itu, skop pengajian senibina universiti harus di fokuskan kepada kursus membangunkan keinsanan. Kursus seperti sejarah, falsafah, kemasyarakatan, politik, sains bangunan dan persekitaran, makroekonomi, teori dan sejarah rekabentuk dan lain-lain kursus yang bersifat keilmuwan. Seandainya kursus ini ditawarkan dengan pensijilan secara kecil-kecilan dalam bentuk ‘microcredential’, ianya boleh diambil pada bila-bila masa dalam karier seorang calon arkitek. Ini bermaksud, calon arkitek tidak perlu belajar sepenuh masa di universiti.


Persoalannya, di manakah mereka akan belajar kemahiran industri? Jawapan yang logik ialah di dalam industri itu sendiri. Calon akan melibatkan diri dengan pengalaman industri dengan bekerja di syarikat arkitek profesional. Bermula dari hari pertama, segala pengalaman bermula dari bawah. Segala kemahiran asas seorang arkitek, lukisan teknik, lukisan persembahan, penggunaan multimedia boleh diambil secara ‘microlearning’ bila diperlukan. Bahkan sijil asas kemahiran ini juga boleh ditawarkan secara ‘microcredential’ di universiti. Sebenarnya cara ini bukanlah baharu bagi profesion arkitek. Di sepanjang sejarah senibina, pembelajaran seorang arkitek profesional ialah melalui sistem perantis, iaitu calon arkitek bekerja di bawah seorang mentor professional yang akan berkongsi ilmu yang diperlukan dalam bidang pekerjaan. Hanya sejak 150 tahun kebelakangan ini senibina menjadi kursus sepenuh masa di universiti.[iv]


Idea, untuk memindahkan pengalaman pembelajaran kepada pengalaman industri merupakan suatu idea yang telah mula mendapat tempat walaupun masih baharu. Cadangan yang digagaskan di sini mempunyai implikasi positif daripada segi kewangan pelajar itu sendiri. Mereka telah boleh mendapat pendapatan dari hari pertama mereka belajar. Mungkin dari awal mereka cuma bekerja sebagai pembantu pelukis pelan, atau pelukis persembahan, seterusnya mereka mula diberi tanggungjawab untuk berkembang mengikut kemampuan (keperluan semasa dan kemampuan kewangan) masing-masing. Mereka sendiri akan memilih kursus dan kemahiran yang perlu melalui sistem ‘microcredential’ yang boleh ditawarkan oleh mana-mana institusi yang diiktiraf modulnya atau diwujudkan suatu akademi atau sekolah yang menyediakan sijil asas yang boleh diambil dalam tempoh setahun atau dua tahun. Seterusnya, pelajar boleh menyertai sistem perantis dan bekerja di dalam industri. Manakala, untuk mendapat ijazah penuh, sistem ‘microcredential’  ini boleh diiktiraf dengan penganugerahan lencana digital (digital badges) yang dikumpul daripada berbagai kursus ‘microcredential’ oleh mana-mana universiti yang bersedia menjadi pemain sistem ini.[v] Ini telah pun berlaku di Korea Selatan di mana mereka mempunyai bank kursus mikro yang boleh diambil dan dikumpulkan untuk mencukupkan keperluan menerima ijazah daripada universiti-universiti yang bekerjasama dengan sistem lencana digital ini. Dengan cara ini, seseorang calon yang mempunyai asas yang kukuh boleh mendapatkan nilai tambah dengan kursus-kursus seperti falsafah, sejarah, sains sosial dan lain-lain yang melayakkan mereka memperolehi Ijazah daripada universiti.

Di sini terdapat keperluan mewujudkan akademi dan institut professional yang khas untuk mengajar kemahiran asas secara ‘microcredential’. Bahkan akademi professional juga boleh menyediakan sistem pendaftaran dan penilaian berterusan untuk pelajar tanpa mengira umur dan kelayakan sedia ada. Ini bermakna pensyarah-pensyarah senibina yang ada di universiti sekarang masih diperlukan untuk akademi dan intitusi ini. Bahkan mungkin pendapatan yang boleh diperolehi adalah lebih lumayan seandainya mereka mahir mengendalikan modul-modul sendiri yang diiktiraf oleh akademi dan menjadi tumpuan pelajar yang sedia membayar untuk modul-modul mereka. Dengan pengalaman pengajaran online yang berkembang semasa era pandemik ini, pensyarah boleh memberi syarahan kepada ratusan pelajar dari serata dunia secara ‘online’ dan secara ‘non-synchronised’. Oleh itu, potensi pendapatan berlipat kali ganda adalah tidak mustahil.

* terdapat sedikit perbezaan antara kedua definisi ini namun untuk maksud artikel ini keduanya boleh diguna untuk maksud yang sama.

Rujukan:

[i] https://www.thestar.com.my/news/nation/2012/03/04/education-system-not-producing-thinking-graduates-say-experts/

[ii] Elestina Abu Bakar, et.al. Knowledge, Attitude and Perceptions of University Students towards Educational Loans in Malaysia, November 2006, Journal of Family and Economic Issues 27(4):692-701

[iii] W M Nor W Daud, Islamization of Contemporary Knowledge and The Role of The University in the Context of De-westernisaton and decolonization, (Professional Inaugural Lecture Series), UTM Press 2016

[iv] https://www.archsoc.com/kcas/Historyed.html

[v] https://www.candlefox.com/blog/micro-credentials-in-2019-5-things-you-need-to-know-now/

ARTICLE

Architectural Plans

Ar. Syed Mohd Radhi Syed Sakkaf

  • White Facebook Icon
bottom of page