top of page

04

Senibina Bukan Lagi
Sekadar Latar Belakang Dalam Filem

by Azari Mat Yasir

|   Universiti Teknologi Malaysia

Azari Mat Yasir

Terdapat satu aspek yang pada dasarnya sangat penting dalam filem tetapi tidak begitu diendahkan oleh penonton. Kebanyakan pengarah akan memastikan aspek ini diberi penekanan. Tetapi jika ianya diabaikan, ia boleh menggagalkan terus penyampaian filem tersebut. Bahkan adakalanya ia akan terus merosakkan sesuatu filem. Aspek tersebut adalah senibina di dalam filem.

Boleh dikatakan semua filem menggunakan senibina dalam set pengambaran sama ada secara langsung atau tidak. Tetapi kebanyakan filem hanya menggunakan senibina sebagai latar belakang, ‘setting’ atau sekadar mewujudkan konteks. Tidak ramai penggiat filem melihat senibina sebagai salah satu watak atau pelakon di dalam ceritanya, apatah lagi sebagai elemen utama untuk memacu plot -plot di dalam filem. Jika difikirkan semula, bukankah lebih mudah sekadar meletakkan watak-watak di hadapan senibina-senibina yang cantik di setiap babak?

Sememangnya kita mahukan senibina-senibina yang cantik dan indah hasil daripada perahan titik peluh dan kreativiti arkitek-arkitek tersohor seluruh dunia untuk menghiasi setiap babak di dalam filem. Sebagai arkitek dan bakal arkitek, kita ingin juga melihat Tom Cruise memanjat bangunan kita seperti dalam adegan filem ‘’Mission: Impossible Ghost Protocol (2011)’’. Tetapi bukan semua filem akan menggunapakai senibina sebagai elemen teras. KLCC pernah diketengahkan di dalam filem ‘’Entrapment’’ (1999) seterusnya dinobatkan sebagai calon senibina tempatan di atas layar perak Hollywood. Tetapi ia sekadar “trope picisan’’ yang ingin menunggang populariti bangunan tertinggi di dunia pada ketika itu.

Di sini, kita dapat melihat beberapa buah filem yang membuat eksperimental sejak beberapa dekad yang lalu. Bermula dari era 60an, pelbagai percubaan-percubaan mantap daripada pengarah lagenda seperti Stanley Kubrick dengan filem “2001: A Space Odyssey” (1968). Walaupun kisahnya merentas pelbagai era, tetapi Kubrick memilih untuk menggambarkan Clavius Base yang merupakan sebuah “outpost” di bulan dengan imej dan gaya yang tidak pernah digambarkan sebelum itu. Seterusnya beliau mengimaginasikan kehidupan di atas kapal angkasa “Discovery One” melalui rekabentuk set yang kompleks dan kaedah sinematografi yang kreatif.

Kemudian ianya dijawab oleh Tarkovsky dengan Solaris (1972), yang sengaja mengelak daripada terlalu fokus kepada teknologi yang biasa cuba digambarkan dalam “genre scifi”. Sebaliknya, dia mengukuhkan aspek kemanusiaan dalam filemnya dengan memastikan senibina yang digambarkan sesuai dengan skala manusia serta mudah untuk penonton pada ketika itu menghayatinya. Mungkin kerana tema filem itu sendiri (berdasarkan novel 1961 oleh Stanislaw Lem) yang lebih menjurus kepada psikologi manusia dan pemikiran rasional.

Filem “Blade Runner” (1982) menggunapakai beberapa senibina berbeza untuk menggambarkan suasana yang berbeza. Sudut yang paling banyak disentuh oleh media pada ketika itu adalah visual senibina Los Angeles pada tahun 2019 yang penuh dengan iklan-iklan neon dan kereta terbang hasil imaginasi pereka futuris Syd Mead. Tetapi ramai yang tidak perasan sebenarnya rumah Deckard telah menggunakan senibina oleh arkitek lagenda iaitu Frank Lloyd Wright. Corak-corak geometri gaya “revival Mayan” dari Ennis House di Los Angeles yang menyuntik kontras kepada babak-babak seterusnya yang gelap, basah dan kotor.

Sekuelnya, filem “Blade Runner 2049” (2017) yang diarahkan oleh Denis Villenueve, cuba mengekalkan elemen senibina yang futuristik bagi menggambarkan Los Angeles pada tahun 2049. Kita dapat melihat cubaan menghidupkan kembali senibina “pasca-brutalis” dengan mengekalkan elemen tektonik yang menghimpit hampir setiap babak visual. Ditambah pula dengan permainan cahaya dan bayang yang berani, lantas mewujudkan suasana genting pada babak-babak kritikal.

Penggunaan senibina di dalam filem tidak terhad kepada karya-karya konvensional sahaja. Filem-filem anime futuristik seperti “Ghost in the Shell” (1995) dan “Neon Genesis Evangelion” (1997) banyak memanfaatkan elemen senibina yang imaginatif bagi menggambarkan bandar di zaman akan datang. Oleh kerana setiap satu elemen ini perlu dilukis satu persatu, penerbit filem-filem animasi amat menitik-beratkan impak maksima dalam karya mereka. Amat tidak berbaloi sekiranya mereka sekadar melakukannya sambil lewa, maka penerapan elemen senibina ke dalam penceritaan menjadi kritikal.

Terdapat juga filem yang lebih memfokuskan kepada permainan visual bagi mengukuhkan elemen fantasi. Ini boleh dilihat dalam filem “Doctor Strange” (2016), yang menggunapakai pelbagai elemen bangunan yang dirombak dan disusun semula. Dalam satu babak, Dr. Strange berdepan untuk menentang “The Ancient One”, kedua-duanya memanipulasi realiti dipersekitaran mereka demi menewaskan seteru masing-masing. Daripada bata-bata di dinding hinggalah ke “balustrade”, kesemua elemen ini diulang, disemai dan dilentur berkali-kali sehingga membentuk binaan yang indah dan rekursif.

Sememangnya ini hanyalah gambaran fantasi, akan tetapi pengubahsuaian perspektif bagi menghidupkan cerita dengan suasana yang “hyper-real” hanya boleh dirujuk sebagai magik. Kesan yang sama juga digarap dalam filem “Inception” (2010) oleh Christopher Nolan. Beberapa babak di dalam filem ini berlaku di dalam minda Ariadne, seorang pelajar arkitek yang mampu membina labirin yang kompleks dan realistik menggunakan imaginasinya sahaja. Kita disajikan dengan babak bandar Paris yang dilipat dan dilentur dalam pemikirannya, lantas memberikan impak yang menakjubkan di layar perak.

Beberapa tahun lepas, filem “Parasite” (2019), mencipta sejarah sebagai filem asing pertama yang memenangi anugerah Filem Terbaik pada “Academy Awards”ke 92. Terdapat suatu aspek yang menarik tentang filem ini, iaitu rumah yang menjadi teras cerita ini sebenarnya direka dan dibina khusus untuk filem ini. Pengarahnya, Bong Joon Ho bersama-sama pereka set Lee Ha Jun juga telah menaiktaraf unsur senibina sehingga menjadi watak penting dalam penceritaannya.

Oleh kerana ia mengisahkan tentang perjuangan antara darjat, produksi filem ini memerlukan latar belakang yang dapat menggambarkan titik pertembungan keluarga mewah dengan keluarga miskin. Keputusan untuk merekabentuk dan membina sebuah rumah dari mula membolehkan mereka menjadikan senibina rumah itu sebagai watak utama, setara dengan pelakon-pelakonnya.

Ini juga dapat kita lihat dalam filem anime “Mirai” (2018), di mana pengarahnya Mamoru Hosoda menekankan rekabentuk rumah yang membantu memajukan plot cerita. Rekabentuk rumah keluarga Ota yang mempunyai aras berbeza tetapi pada masa yang sama tertumpu kepada laman di tengah rumah membuatkan kita hanya menumpukan perhatian kepada kisah di dalam rumah sahaja. Tetapi kisah fantasi ini kemudiannya membawa kita mengembara mengikut perspektif watak-watak tertentu, yang kemudiannya kembali kepada titik tolak ceritanya iaitu halaman rumah tersebut.

Kini kita boleh perhatikan perlahan-lahan timbul satu trend dalam penceritaan filem yang lebih menghargai senibina dan kelebihan yang ditawarkan. Senibina tidak seharusnya dilihat hanya sebagai latar belakang kepada watak-watak yang sedang bersembang, bercinta atau bergelut. Sungguhpun trend ini masih belum tumpah ke karya filem terbitan tempatan, tetapi kita mengharapkan agar para penerbit dan sutradara serta sinematografer boleh meluaskan pandangan dan mengambil kira senibina tempatan dalam karya mereka.

APPRAISAL OF STUDENT'S WORK

Appraisals - Sofea 2.jpg

Assoc. Prof. Ar. Meor Mohammad Fared

Skate Park

Advertisement

  • White Facebook Icon
bottom of page