top of page

ESSAY

Write an article

for next issue

Ar. Syed Mohd Radhi 8.jpg

Salah-satu perkara yang utama untuk menyediakan arkitek pada masa hadapan adalah dengan mengenali bagaimanakah rupa bentuk profesion arkitek pada masa akan datang. Tiada siapa dapat meramal masa hadapan secara pasti, namun dengan merujuk kepada sejarah perubahan yang lalu, serta petunjuk dan trend semasa, kita boleh merancang apakah persediaan yang diperlukan ke arah itu.

Sejarah Perkembangan Profesion Arkitek

Sepanjang sejarah ketamadunan, aliran senibina sentiasa berubah dari masa ke semasa. Ianya kerana perubahan masa, budaya, agama dan geografi setempat, bahan yang tersedia di sekitarnya atau berdasarkan limitasi teknologi semasa. Terdapat ratusan aliran rekabentuk  senibina seperti Roman, Greek, Medieval, Islam dan Moden. Pada era sebelum ini, pelbagai aliran senibina dengan gaya senibina yang tersendiri dijadikan panduan dikalangan para arkitek antaranya senibina Gothic, Baroque atau Neo-Classical atau Bauhaus, Post-Modern dan Hi-Tech. Sebaliknya dasawarsa ini, kita membincangkan tentang senibina hijau dan mampan pula.

Namun arkitek sebagai satu profesion tidak mengalami banyak perubahan. Sejak zaman Mesir purba dan Roman, akitek adalah sebahagian daripada bidang jurubina. Orang yang sama, seperti Imhotep atau Vitruvius, berperanan sebagai arkitek, jurutera dan kontraktor.

Apabila tamadun dunia mula berkembang dengan binaan-binaan yang besar dan indah; peranan seorang ‘perekabentuk bangunan’ semakin dikenali dan dihargai. Istilah arkitek berasal dari perkataan Greek ‘arkhitektn’, di mana ‘arkhi’ bermakna ketua dan ‘tektn’ bermakna jurubina. Ia mula digunapakai sebagai satu bidang kemahiran khusus semasa zaman ‘Kebangkitan Semula’ di Itali. Namun pada masa tersebut profesion arkitek masih belum menjadi kerjaya sepenuh masa sepertimana Michelangelo yang merupakan seorang pelukis dan ‘sculptor’ tetapi tidak mendapat latihan formal untuk menjadi seorang arkitek. Kebanyakan arkitek pada masa tersebut hanya berbekalkan bakat semulajadi serta mendapat latihan tidak formal melalui sistem ‘apprenticeship’.

Kesedaran untuk memajukan bidang senibina telah menjurus kepada pembentukan sistem pendidikan dan latihan senibina yang mula diperkenalkan secara lebih tersusun dan formal. Antara pusat pengajian senibina yang paling awal ditubuhkan adalah Paris Ecole des Beaux-Arts pada tahun 1671. Kelahiran graduan-graduan dalam jurusan senibina daripada institusi tersebut merupakan pelopor terhadap kerjaya arkitek sebagai satu profesion yang khusus. Selepas itu, lebih banyak sekolah senibina telah ditubuhkan antaranya MIT di Amerika Syarikat (1868) dan AA School of Architecture yang dibuka pada tahun1889. Dalam tempoh yang sama, beberapa persatuan arkitek mula ditubuhkan seperti Royal British Institute of Architects (1834) dan American Institute of Architects (1857).

Pada tahun 1931, perkhidmatan senibina mula dikawal selia (regulated) oleh sistem perundangan di United Kingdom iaitu hanya mereka yang berdaftar sahaja boleh menawarkan perkhidmatan sebagai seorang arkitek. Perkembangan ini mula menjadikan profesion arkitek semakin bersifat eksklusif dan monopoli.

Semenjak itu, tidak banyak perubahan besar berlaku dalam profesion arkitek walaupun aliran rekabentuk senibina terus berkembang dan berubah. Melahirkan seorang arkitek adalah antara proses yang paling panjang dan mahal. Arkitek menjadi kerjaya professional yang eksklusif. Berdasarkan kepakarannya, akitek mempunyai mempunyai hak istimewa untuk menawarkan perkhidmatan senibina seperti mengemukakan kelulusan pelan pembangunan. Di Malaysia, proses ini hampir tidak pernah berubah sejak tempoh 50 tahun yang lalu.

 

Bagaimanakah Masa Hadapan?

Perbincangan ini mengetengahkan 2 faktor utama yang sedang dan akan mempengaruhi profesion arkitek pada masa hadapan; pertama adalah perkembangan teknologi terutamanya teknologi maklumat dan yang kedua adalah perubahan kepada budaya kerja.

 

1.1 Perkembangan Komputer Dalam Senibina

Kehadiran ‘computer-aided-design’ (CAD) pada penghujung’ 1980an membawa era baru dalam perkhidmatan senibina dan profesion arkitek. Lukisan rekabentuk dan pembinaan dapat dihasilkan dengan lebih mudah, cepat dan tepat. Daripada lukisan 2D, perisian CAD dapat menghasilkan model digital 3D yang menggantikan khidmat pelukis perspektif dan pembuat model fizikal. Perisian CAD terus berkembang dan kini boleh menghasilkan ‘realistic rendering’ serta animasi ‘walk-thru’ dengan mudah.

Walaupun Building Information Modelling (BIM) bukanlah sesuatu yang baru, tetapi baru sejak kebelakangan ini ia mula memberi impak kepada komuniti arkitek. Kalau dulu arkitek membina model digital di dalam komputer, dengan BIM 'bangunan digital' mula dibina di dalam komputer. Model digital hanyalah representasi visual tanpa ada apa-apa nilai atau spesifikasi, sebaliknya BIM dapat membina bangunan digital yang penuh dengan informasi, metadata, spesifikasi, nilai prestasi (performance value) selain maklumat asas seperti dimensi, keluasan atau kuantiti. BIM juga menggabungkan maklumat senibina dan kejuruteraan untuk membolehkan interaksi antara pelbagai elemen dan perkhidmatan bangunan yang dapat dinilai serentak. Maka terbitlah 'clash analysis' yang memberi amaran awal apabila berlakunya percanggahan rekabentuk.

Terkini konsep 'Metaverse' mula memasuki dunia senibina. Berbanding model digital 3D yang dilihat dari luar, 'Metaverse' mengajak kita 'masuk secara virtual' ke dalam bangunan tersebut pada skala 1:1. Jika animasi 'walk-thru' membawa kita melalui laluan yang telah ditetapkan, 'Metaverse' pula memberi kita kebebasan memilih sendiri laluan. Ianya membolehkan kita mengalami pengalaman (experienced) berada di dalam bangunan tersebut di alam virtual sebelum ia dibina di alam realiti.

Selain itu, kita juga boleh berada di dalam satu kelompok kompleks bahkan satu bandar digital yang dibina di dalam komputer seperti yang dipaparkan dalam filem ‘Inception’. Ia adalah 'extended virtual reality' dimana kita bukan berseorangan tetapi boleh memasuki ke alam virtual ini bersama-sama dengan klien, konsultan dan kontraktor serta boleh berkomunikasi antara satu sama lain. Mesyuarat koordinasi atau tapak boleh dibuat di dalam 'tapak virtual' dan sebarang masalah dapat dikesan, dilihat dan diselesaikan di alam virtual sebelum ianya diterjemah ke alam realiti. Bayangkan berapa banyak tenaga, masa dan kos yang dapat dijimatkan?

Bayangkan pula kontraktor boleh 'masuk' dan melihat setiap perincian bangunan digital (BIM) yang lengkap dibina dan terperinci di dalam Metaverse. Ketika itu tiada lagi keperluan untuk '2D printed construction drawings'. Kontraktor boleh melihat setiap perincian bangunan (seolah-olah dia membaca lukisan terperinci 2D) kemudian dapat membinanya di alam realiti. Bayangkan perubahan yang berlaku dalam industri pembinaan yang tiada sekeping pun lukisan bercetak.

Justeru, adakah ini satu kemungkinan yang terlalu jauh untuk diimaginasikan? 10 tahun yang lalu tidak pernah kita bayangkan bahawa hari ini surat-menyurat dan dokumen bercetak telah hampir pupus. Keadaan ini ia berlaku tanpa dirancang. Tiada siapa yang menggunakan mesin faksimili lagi. Mesin pencetak (printer) juga semakin berhabuk dihujung sudut pejabat. Perkongsian maklumat, dokumen mahupun lukisan, berlaku secara digital kerana ianya lebih mudah, cepat, murah dan berkualiti. Teknologi yang berpotensi besar dalam bidang senibina dan pembinaan ini akan membawa perubahan yang besar terhadap perkembangan perkhidmatan senibina dan industri pembinaan pada masa hadapan.

‘Senibina parametrik’ juga semakin menjadi ‘trend’ masa depan. Biasanya rekabentuk akan berlaku di dalam pemikiran arkitek terlebih dahulu sebelum ianya ‘dialih’ kepada model digital. ‘Senibina parametrik’ memberi peluang kepada arkitek untuk menghasilkan suatu rekabentuk yang dia sendiri pun tidak boleh membayangkannya sehinggalah ianya dihasilkan (generated) oleh komputer. Dalam kata lain, arkitek sebenarnya tidak merekabentuk bangunan, tetapi suatu bentuk yang dikawal oleh parameter dan limitasi yang tertentu. Apabila parameter diubah, maka bentuk bangunan berubah. Begitu juga kehadiran ‘3D-printer’ berskala besar. Mungkinkah suatu hari nanti rumah dibina dan dihasilkan daripada kilang seperti robot memasang kereta hari ini.

 

1.2 Arkitek : Perekabentuk atau Artis?

Dalam keghairahan kita untuk menggarap terknologi terbaru kepada generasi arkitek akan datang, terdapat suatu perkara yang perlu diberi perhatian iaitu; adakah mereka disiapkan dan dilatih untuk memanafaatkan teknologi baru sesuai dengan peranan dan kepakaran seorang arkitek? Apakah seorang akitek mempelajari CAD sebagai alat melukis (drawing tool) atau untuk membantunya menghasilkan rekabentuk yang lebih baik (design tool)? Kalau sekadar digunakan untuk melukis, ramai pengendali CAD yang boleh melukis dengan lebih baik dan cepat.

Adakah arkitek harus menghabiskan masa membina sendiri model Revit atau dia menggunakan Revit untuk menganalisa percanggahan rekabentuk dan menyelesaikannya? Kalau hanya untuk membina model Revit, ramai dikalangan ‘modeller’ yang berkursus hanya selama 6 bulan boleh menghasilkan kualiti model yang lebih baik dan cepat berbanding arkitek yang berada 5 tahun di universiti. Hari ini ‘dunia virtual’ yang dibina di dalam Metaverse diterajui oleh ‘game developer’ yang tiada sebarang latihan senibina. Kita juga mendapati ramai pelajar senibina membentangkan rekabentuk projek mereka dengan lukisan perspektif 3D dan ‘rendering’ yang hampir realistik beserta animasi yang mengagumkan, tetapi kualiti idea dan rekabentuknya jauh ke laut. Adakah mereka menguasai teknologi untuk menjadi arkitek atau sekadar 'visual artist'? Benarkah arkitek menjual rekabentuk yang baik atau hanya gambar yang cantik?

 

1.3 Teknologi Komunikasi

Perubahan cara berkomunikasi juga boleh meningkatkan mutu perkhidmatan serta mengurangkan kos. Kebiasaan lama seperti mesyuarat bersemuka juga diganti dengan mesyuarat atas talian. Dokumen dan lukisan bercetak diulang cetak untuk beberapa salinan, kemudian perlu dihantar secara fizikal kepada penerima. Tetapi kini diganti dengan dokumen dan lukisan digital, ianya tidak perlu dicetak dan dihantar secara atas talian dalam sekelip mata. Profil firma arkitek yang terkini boleh dilihat dilaman sesawang pada bila-bila masa, dari mana-mana sahaja dan oleh sesiapa sahaja. Perubahan ini perlu digarap sepenuhnya oleh arkitek masa depan kerana ia lebih cepat, lebih jimat dan lebih efektif. Penggunaan media sosial seperti Facebook dan Instagram menjadi medium pengiklanan percuma. Akhirnya arkitek mungkin mendapati yang mereka tidak memerlukan ruang pejabat yang besar dengan dekorasi hebat kerana penggunaan ruang yang semakin kecil dan tiada lagi klien bertandang. Firma arkitek juga tidak lagi memerlukan ‘perpustakaan bahan’ untuk menyimpan katalog yang banyak.

 

1.4 Teknologi ‘Big Data’

Hari ini dunia bercakap tentang ‘Big Data’ sebagai pemangkin ekonomi masa depan. ’Big Data’ adalah kemampuan berasas teknologi untuk menyimpan, menyusun, menganalisa dan yang lebih penting untuk memanipulasikan data yang ada. Arkitek boleh mengambil manfaat daripada 2 sumber data; pertama daripada puluhan atau ratusan projek-projek yang telah disiapkan selama ini dan kedua adalah data-data yang terhasil (generated) daripada penggunaan projek-projek yang telah disiapkan.

Data adalah pengalaman yang berharga, malangnya tidak ramai arkitek yang menyusun, mengkategorikan dan menganalisa kembali pengalaman-pengalaman terdahulu yang kebanyakannya tinggal dalam ‘back-up disc’ dan fail-fail lama. Ia mungkin juga ada dalam bentuk pengalaman peribadi arkitek-arkitek terdahulu yang datang dan pergi bersama mereka. Projek-projek baharu seharusnya lebih cepat, kurang guna tenaga, tidak mengulang kesilapan dengan rekabentuk dan perkhidmatan yang lebih baik. Kelangsungan firma arkitek tidak sewajarnya bergantung kepada kemampuan individu.

Sekali lagi, tidak ramai arkitek menilai kembali ‘user satisfaction’ terhadap projek-projek yang telah diserahkan, samada ianya mencapai prestasi rekabentuk yang dibentangkan pada peringkat rekabentuk dahulu atau sebaliknya. Justeru, semua prestasi tersebut perlu diukur dengan data.

Klien hari ini semakin bersikap ‘demanding’, mereka tidak cukup dengan sekadar persembahan melalui lisan dan visual. Klien kini menuntut arkitek membuktikan hasil rekabentuk dengan menggunakan data-data. Contohnya ‘Green Building Index’ atau MyCREST dapat mengukur prestasi dengan data bukan sekadar berdasarkan dakwaan arkitek bahawa rekabentuknya bersifat tropikal.

Dengan kehadiran ‘Internet of Things’ semakin banyak data yang boleh mengukur prestasi bangunan akan dikumpulkan. Ianya agak merugikan dan menyebabkan arkitek akan ketinggalan berbanding profesion lain sekiranya arkitek tidak mengambil peluang serta menambah-nilai daripada kewujudan data-data ini.

 

Perubahan budaya kerja masa hadapan bukan sahaja dihadapi olek arkitek tetapi hampir semua profesion professional. Ianya juga secara tidak langsung adalah disebabkan oleh perkembangan teknologi semasa.

 

2.1 Hilangnya Hak Eksklusif Arkitek

Satu kemungkinan perubahan yang pasti akan memberi impak besar kepada profesion adalah pemansuhan peranan arkitek sebagai ‘gate-keeper’ pembangunan hartanah. Di sisi undang-undang sekarang, hanya mereka yang berdaftar sebagai arkitek sahaja yang boleh memberi perkhidmatan seni bina termasuklah untuk mengemukakan pelan pembangunan. Hak eksklusif ini mulai diberi kepada arkitek pada awal abad ke 20 dan di Malaysia melalui Akta Arkitek pada tahun 1967. Namun kini, diluar negara telah terdapat trend untuk membuka kembali perkhidmatan seni bina atau sebahagian besar daripada skopnya kepada bukan arkitek. Di Australia dan Amerika, skop perkhidmatan arkitek berdaftar telah dikecilkan kepada ‘architect of record’ – yang hanya berperanan untuk mengemukakan dan mendapatkan kelulusan pelan sahaja.

Pada tahun 1993, Laporan Warne oleh kerajaan United Kingdom telah mengesyorkan agar perlindungan kepada istilah ‘arkitek’ digugurkan, namun dibatalkan setelah ditentang oleh ahli-ahli RIBA. Ia menunjukkan telah ada trend untuk memecah monopoli perkhidmatan seni bina dan lebih membimbangkan lagi pengesyoran itu datang daripada pihak kerajaan sendiri serta mendapat sokongan awam. Seolah-olah hanya golongan arkitek sahaja bersendirian cuba mempertahankan ‘status quo’ mereka.

Bayangkan keadaan sekiranya tiada lagi keperluan pendaftaran sebagai arkitek professional. Maka, sesiapa sahaja boleh menawarkan perkhidmatan seni bina atau sekiranya keperluan arkitek dikecilkan seperti untuk mengemukakan pelan bangunan sahaja. Tidak dapat kita nafikan telah ramai menawarkan perkhidmatan ini terutama melalui media sosial seperti graduan arkitek yang tidak berdaftar atau kontraktor menawarkan khidmat ‘design and build’. Kenyataan ini tidak bertujuan mempromosi keterbukaan, membenarkan yang salah, atau bersifat provokasi, tetapi ia bertujuan untuk menyatakan fakta yang telah dan sedang berlaku kini samada kita bersetuju atau tidak. Mungkin ia berbunyi seperti ‘the devil advocates’ tetapi ia bertujuan untuk mengajak kita berfikir secara realistik. Arkitek tidak boleh berada dalam sikap penafian (denial) sehingga ia tidak dapat dielakkan lagi dan tiada langkah-langkah mitigasi diambil.

Banyak petunjuk telah menjurus ke arah usaha ini. Antaranya, dengan mengambil contoh skala fi arkitek yang seolah-olah menjadi dokumen di atas kertas sahaja di dalam industri. Hanya segelintir arkitek yang cuba mempertahankannya, namun ianya  tidak disokong penuh oleh pemegang-taruh yang lain di dalam industri hatta oleh pihak kerajaan sendiri.

 

2.2 Perkhidmatan Senibina oleh bukan Arkitek

Kini, terdapat banyak perisian rekabentuk senibina yang mudah untuk digunapakai oleh orang awam di pasaran dan mereka boleh menggunakannya untuk merekabentuk rumah sendiri. Terdapat juga pihak yang menjual rekabentuk senibina sebagai ‘produk’ bukannya ‘perkhidmatan’ dengan menyediakan puluhan rekabentuk rumah untuk dipilih. Tidak kurang juga graduan-graduan arkitek yang menawarkan perkhidmatan seni bina tanpa mereka perlu menjadi ‘arkitek profesional’. Perkembangan teknologi telah membuka peluang untuk klien mengenepikan khidmat arkitek sepertimana kita tidak lagi memerlukan agen pelancongan untuk ke luar negara. Justeru, ini semua akan menjadi cabaran kepada arkitek pada masa hadapan.

Di satu sudut pandang yang lain pula, laporan kajian ‘The Future for Architects?’ oleh RIBA pada tahun 2011 pernah mencadangkan penggunaan istilah ‘arkitek’ dinilai semula untuk memenuhi tuntutan semasa supaya arkitek kekal relevan, dikala ramai yang menawarkan perkhidmatan senibina sedangkan mereka tidak berada dalam lingkungan tradisi istilah ‘arkitek’ atau arkitek yang menawarkan perkhidmatan tidak berada di dalam skop tradisi perkhidmatan senibina.

 

2.3 Sejauhmana Kepakaran Arkitek?

Salah satu sandaran utama yang dapat mempertahankan hak keistimewaan arkitek adalah kerana mereka dilatih serta mempunyai kepakaran (people of skill). Namun jika dinilai secara jujur terhadap skop perkhimatan arkitek, kita akan dapati terdapat banyak kelompongannya. Samada arkitek tidaklah begitu pakar dalam skop tertentu, atau bukan hanya arkitek yang pakar dalam skop tertentu, atau terdapat pihak lain yang lebih pakar dalam skop tertentu. Bila kita bercakap soal ‘kepakaran’, ianya bukan ‘sekadar tahu’. Kita bukan mengatakan akitek tidak mempunyai pengetahuan, namun sekiranya pengetahuan itu juga diketahui oleh masyarakat umum, sudah pasti masyarakat akan mempersoalkan mengapakah hanya arkitek sahaja yang diberi hak tersebut?

Kepakaran utama seorang arkitek adalah daya kreativitinya dalam merekabentuk bangunan. Namun, berapa ramaikah arkitek yang berani tampil ke hadapan dan mengatakan yang dia adalah seorang pakar dalam merekabentuk (flair in design) atau sekadar ‘boleh’ merekabentuk. Dalam konteks yang sama, kemampuan merekabentuk bukanlah penilaian untuk menjadi arkitek professional. Ramai sahaja ‘design architect’ di firma-firma arkitek adalah daripada kalangan arkitek graduan.

Selain itu, terdapat juga pihak ketiga yang boleh menawarkan kepakaran dalam skop yang tidak berkait dengan rekabentuk. Kini telah ada pendaftaran untuk ‘architectural technologist’ yang mempunyai kepakaran yang setanding dengan arkitek dalam memilih spesifikasi bangunan atau perincian binaan. Begitu juga ‘Inspector of Works’ yang mempunyai kepakaran dalam penyeliaan tapak. Manakala dalam pentadbiran kontrak, jurukur bahan juga dilatih secara khusus dalam aspek tersebut. Tambahan pula ada arkitek yang lebih selesa menolak soal kontrak kepada jurukur bahan tanpa mengambil peranan ke hadapan. Pengurus projek juga telah lama cuba ‘mencuri’ skop tersebut dan memainkan peranan ‘lead consultant’ daripada arkitek.

Dalam keseluruhan 5 fasa perkhidmatan arkitek, terdapat pelbagai skop kerja yang kepakarannya juga dimiliki oleh pelbagai pihak. Bagaimana jika suatu hari nanti setiap pakar boleh menawarkan perkhidmatannya sendiri secara langsung? Justeru, jika ini berlaku (sebahagiannya telah pun berlaku walaupun secara tidak formal), apakah peranan yang tinggal untuk seorang arkitek di masa hadapan?

 

2.4 Arkitek : Ahli Perniagaan atau Profesional

Sekiranya pasaran perkhidmatan senibina menjadi terbuka, maka persaingan akan menjadi semakin kuat. Arkitek mesti keluar daripada kotak pemikiran tradisional dan melengkapkan diri dengan sumber-sumber serta kepakaran baru.

Menguruskan sebuah firma arkitek lebih banyak berkisar tentang soal perniagaan berbanding soal pengetahuan senibina atau teknikal, sedangkan arkitek tidak pernah diajar untuk mengurus perniagaan. Akibatnya, ramai yang terpaksa belajar sendiri selepas melakukan pelbagai kesilapan. Arkitek juga tidak dilatih dalam aspek pengurusan kewangan, sumber manusia atau menjalinkan rangkaian perniagaan untuk mencari peluang projek-projek baharu. Ramai arkitek setelah menubuhkan firma sendiri baru menyedari bahawa beliau tidak mempunyai rangkaian kenalan yang berpotensi sebagai klien. Semua kenalannya adalah arkitek yang lebih berpotensi menjadi saingannya. Mungkin pada masa hadapan arkitek terpaksa menerima hakikat bahawa firma arkitek tidak lagi diketuai oleh seorang arkitek tetapi seorang pakar pengurusan atau ahli perniagaan. Sepertimana hari ini BIG Architects diterajui oleh Sheela Maini Sogaard, seorang lulusan perniagaan dan pengurusan. Semua ini membayangkan perkhidmatan senibina dan profesion arkitek tidak boleh lagi bersifat eksklusif. Akta Arkitek telah membenarkan bukan arkitek menjadi pemegang saham minoriti supaya mereka yang mempunyai kepakaran tertentu boleh dimanfaatkan.

 

2.5 Kepakaran lain

Ramai orang awam apabila ingin membina rumah akan mencari kontraktor terlebih dahulu, bukannya arkitek. Apabila melihat rumah yang cantik mereka akan bertanya tentang kontraktor, hanya sedikit yang akan bertanyakan tentang arkitek. Maka, semakin ramai kontraktor atau pihak ketiga yang menawarkan perkhidmatan 'reka dan bina' (design and build). Kebanyakan orang awam tidak tahu tentang proses pembangunan dan pihak-pihak yang terlibat selain kontraktor. Pada masa hadapan, arkitek perlu lebih aktif dalam mendidik masyarakat untuk memahami proses yang berlaku sambil 'menjual' perkhidmatan dan kepakaran mereka.

Arkitek tidak boleh lagi menunggu untuk klien datang mencari mereka. Arkitek mestilah lebih proaktif untuk mencari dan mencipta projek. Yang dimaksudkan mencari projek bukan bermaksud sekadar bermain golf bersama bakal klien, tetapi mereka perlu mempunyai pengetahuan untuk menasihati pelanggan tentang jenis dan lokasi pembangunan yang bersesuaian atau kadar kebolehuntungan. Untuk itu, arkitek mesti tahu pasaran hartanah semasa yang berbeza mengikut lokasi, produk yang bersesuaian dan yang boleh membawa pulangan yang baik serta kos pembinaan dan nilai pasaran semasa. Iny Johar menyebut di dalam buku “Future Practice: Conversation from the Edge of Architecture” bahawa kebanyakan arkitek berpandangan ‘ekonomi sesebuah projek adalah urusan pemaju dan klien. Kita (arkitek) biasanya tidak kisah tentang duit melainkan tentang kos bangunan.

Semua ini dan banyak lagi adalah kepakaran yang tidak pernah diajar tetapi sangat perlu untuk kelangsungan profesion arkitek terutama dalam ekonomi pasca-covid yang lebih mencabar. Persoalan yang timbul ialah; apakah ini semua perlu diajar di universiti sedangkan subjek-subjek yang ada telah terlalu padat yang akhirnya ‘at it best’ melahirkan arkitek ‘jack of all trades but master of none’. Pendek kata, antara cabaran besar profesion arkitek hari ini dan masa depan adalah untuk mendalami kepakaran asas dalam senibina dan pada masa yang sama mempunyai pelbagai kepakaran lain yang boleh ditawarkan kepada bakal klien.

 

2.6 Kolaborasi Kepakaran

Pada masa kini, teknologi pembinaan semakin berkembang pesat. Produk-produk baru yang diperkenalkan hampir setiap hari bukan sekadar menambah kepada pilihan yang ada, tetapi perlu lebih berkualiti, tahan lama, kurang penyelenggaraan, mempercepatkan proses kerja bahkan lebih murah. Pada masa yang sama, ia juga semakin rumit (complicated) serta menjadikan seseorang individu tidak mampu menggarap semua teknologi dalam satu projek. Hampir setiap produk; jubin, kemasan sanitari, tingkap, cermin, bahan kalis air, ‘curtain walling’ mempunyai pakarnya yang tersendiri. Arkitek masa hadapan perlu membiasakan diri untuk bekerja dalam pasukan yang lebih besar dan saling belajar antara satu sama lain. Kebolehan berkolaborasi dengan pelbagai kepakaran adalah kekuatan arkitek masa hadapan.

 

2.7 ‘Standardization’: Rekabentuk Seragam

Selama ini perkhidmatan senibina dilihat sebagi sesuatu yang unik; tiada 2 klien yang mempunyai keperluan yang sama, atau 2 tapak yang sama, atau 2 brief yang sama, maka tidak sewajarnya akan ada 2 rekabentuk yang sama sebagai solusi. Namun tekanan kos, masa, kecekapan (efficiency) dan trend semasa dalam semua bidang menuju ke arah ‘sistemisasi’ (systemization) serta penyeragaman (standardisation). Telah terdapat percubaan untuk menyeragamkan rekabentuk bangunan oleh agensi kerajaan dan beberapa pemaju swasta tetapi tidak mendapat penerimaan yang menggalakkan daripada klien, pengguna dan pembeli. Dalam banyak keadaan ‘rekabentuk seragam’ (standard design) tersebut terpaksa diubahsuai untuk memenuhi kehendak pengguna dan keadaan tapak. Mungkin sesuatu yang perlu diterokai adalah pertengahan antara keduanya; iaitu penyeragaman dan sistemisasi proses rekabentuk (standardization and systemization of process) bukannya produk akhir (end product) itu sendiri. Apabila telah ada proses yang distrukturkan, profesion arkitek tidak lagi bergantung kepada seseorang personaliti atau individu untuk kebolehmandiriannya (survival). Contohnya; walaupun selepas ketiadaan Zaha Hadid, firmanya masih terus berkembang.

 

2.8 ‘Perniagaan Senibina’

Tekanan kewangan dan kenaikkan kos dirasai oleh semua pihak termasuk arkitek. Kos operasi semakin meningkat termasuk gaji, sewa, peralatan, perisian hatta bil eletrik dan air. Pada masa yang sama, fi arkitek semakin ditekan. Arkitek masa depan harus berfikir secara serius dan kreatif bagaimana kos boleh dikurangkan tanpa menjejaskan mutu perkhidmatan. Penguasaan teknologi dan perubahan cara bekerja boleh membantu mengurangkan kos tersebut. Perisian CAD terkini memerlukan tenaga kerja yang kurang untuk mengeluarkan hasil yang sama dalam masa yang lebih singkat. Konsep kolaborasi antara firma-firma kecil untuk mengendalikan projek yang besar memberi peluang untuk kos dikongsi bersama. Firma kecil tidak perlu berkembang menjadi besar lantas mengurangkan risiko perbelanjaan masa hadapan. Untuk ini arkitek perlu melupakan keegoan dan sikap individualistik dengan mengatakan; “ini projek aku” atau “ini firma aku”.

Apabila skop perkhidmatan senibina boleh dibahagikan kepada kepakaran yang berasingan melalui capaian internet yang menjangkau seluruh dunia, tidak mustahil untuk skop tertentu di’outsource’kan kepada lokasi yang kos pekerja dan kos operasi lebih rendah.

Sistem bekerja dari rumah (Work From Home) semasa PKP telah membuktikan ada kerja-kerja yang boleh dibuat tanpa kehadiran fizikal dan koordinasi juga boleh dibuat atas talian. Sudah terdapat beberapa aplikasi atas talian untuk memantau tugasan kakitangan.

Tekanan ekonomi menuntut akitek melihat di luar kotak daripada segi sumber pendapatan mereka, bukan semata-mata perkhidmatan senibina dalam bentuk tradisi. Dengan kepakaran kreatif yang ada arkitek mungkin boleh menawarkan khidmat penjenamaan syarikat, rekabentuk produk dan industri, photografi dan videografi, animasi, perunding kontrak, arbitrator dan pelbagai lagi. Sempadan profesion akan semakin kabur apabila masing-masing mula memasuki skop profesion yang lain. Mungkin juga arkitek harus melihat profesion mereka sebagai satu ‘perniagaan rekabentuk’.

 

2.9 Pandangan Global

Arkitek masa depan harus bersedia untuk melihat secara global. Capaian internet tanpa sempadan memberi ruang kepada sesiapa sahaja untuk mencari peluang di mana-mana sahaja. Secara tradisi arkitek masih terkongkong dengan limitasi praktis senibina di dalam negara dan beranggapan khidmat keluar negara hanya mampu ditawarkan oleh firma-firma yang besar. Ini bukan sekadar dengan menyertai pertandingan senibina antarabangsa, bahkan kita juga boleh terlibat dalam projek yang benar-benar dapat dilaksanakan. Bukan semua arkitek luar yang datang ke Malaysia sebagai ‘design architect’ mempunyai firma yang besar di negara mereka.

 

Penutup

Masih banyak perubahan akan mewarnai lanskap profesion arkitek di masa hadapan yang memerlukan kita berfikir secara kritis dan menyediakan pendekatan yang menyeluruh. Antaranya dengan menyediakan generasi arkitek yang lebih bersedia dengan cabaran mendatang. Profesion arkitek harus bersedia untuk melakukan perubahan besar sekiranya mahu terus kekal relevan atau menanggung risiko kepupusan daripada bentuk profesion yang kita lihat hari ini.

Dunia telah dan sedang berubah, begitu juga sifat profesion arkitek, samada kita merancang ataupun tidak. Adakah kita akan membiarkan perubahan merubah kita, atau kita merancang perubahan agar ia berubah seperti yang kita rancang.

Walaupun perbincangan ini hanya tertumpu kepada profesion arkitek, tetapi perkara yang sama sebenarnya sedang berlaku kepada semua profesion professional lain seperti jurutera, jurukur bahan, perancang bandar bahkan doktor, akauntan hatta peguam.

Bulldos-Decathlon-01.png

Advertisement

  • White Facebook Icon
bottom of page