top of page

Visualisasi Idea Menggunakan Imej Janaan Kecerdasan Buatan: Satu Perkongsian Pengalaman

by En. Azari Bin Mat Yasir | Universiti Teknologi Malaysia

ESSAY

Write an article

for next issue

“Hey Aza, boleh tak kau tolong aku visualisekan idea klien aku ni kat dalam design aku?”

 

Kawan aku ni, Ramesh, memang arkitek yang kira tersohor juga, tapi sesekali dia memang suka bertanya idea daripada kawan-kawan kerana nak cari inspirasi berbeza. Aku pula memang suka sketch idea-idea baru, mencabar dan tak pernah diminta orang. Sebab itu, ada beberapa kali Ramesh mengkomisyen aku untuk mengimaginasikan projek-projeknya.

 

“Bila kau nak?”

 

“Lagi dua hari boleh?”

 

Hah? Mana mungkin nak siapkan lima-enam keping sketches bersaiz A4 dalam masa dua hari? Mungkin zaman aku tak ada kerja dulu bolehlah. Kita kena faham bahawa kerja-kerja visualisasi ni memerlukan masa untuk membuat rujukan. Kalau klien nak rumah macam alien oleh H.R. Giger, maka kenalah buka buku untuk buat rujukan. Ada klien nak nampak pengaruh cyberpunk, ada yang suka Gundam, Ironman, Steampunk tahun 1950an tapi dengan gaya Victorian revivalisme yang dipengaruhi oleh gerakan modernis di Weimar dan sebagainya.

 

Kebanyakan masa aku dihabiskan untuk membuat rujukan-rujukan ini. Untuk melukisnya, tak ada masalah sangat. Jadi apabila kawan arkitek itu meminta beberapa sketches dalam masa dua hari, memang tak sempat. Itu belum ambil kira sama ada apa yang aku visualisasikan itu sama seperti apa yang dia kehendaki.

 

Tapi sejak beberapa minggu lepas, semua ini berubah.

 

Kehadiran teknologi penjanaan imej menggunakan kecerdasan buatan (A.I generated images) sudah semakin maju sejak tahun 2020, terutamanya apabila beberapa program penjanaan imej ini dapat diakses oleh pengguna awam di internet. Ia membolehkan pengguna seperti aku menghasilkan karya seni hanya dengan menggunakan rentetan perkataan-perkataan mudah. Tak perlu ada asas melukis, tak perlu asah bakat visualisasi, yang penting ada idea yang jelas dan boleh diulas dengan vokabulari yang boleh difahami oleh sistem Artificial Intelligence (A.I.) tersebut.

 

Apa maksudnya?

 

Menggunakan rentetan perkataan-perkataan ini, aku boleh menyuruh A.I. untuk menggambarkan sesebuah situasi, kemudian menghasilkannya menjadi sebuah karya digital. Seperti mana aku boleh mengarah pelajar untuk menggambarkan suasana kafeteria di dalam bangunan rekaannya. A.I. juga boleh berbuat begitu. Cuma bezanya, pelajar-pelajar aku memerlukan 4-5 hari untuk menghasilkan satu idea, tetapi A.I. boleh berbuat demikian dalam masa dua ke tiga minit untuk setiap imej berukuran 1024 x 1024 pix.

I3mnvvtgJmbwsuieFkrQO6RUIvI2HBZg0ThZRVx1cHvMPQQ3btLhP-9peUvBo6zD8i5rX3G4qC8pl65ng-rnBtcJat

Penjanaan imej oleh kecerdasan buatan adalah salah satu aplikasi A.I. terkini. Walaupun pada dasarnya teknologi ini sudah mula dibangunkan sejak tahun 1960an lagi, tapi imej yang dihasilkan terhad kepada corak berasaskan algoritma tertentu. Kemudian ia terus dibangunkan perlahan-lahan, semakin lama semakin kompleks dan terperinci. Seterusnya ia terus dimajukan sehingga lewat 2010an yang mana teknologi ini mula boleh diakses di internet oleh sesiapa sahaja.

 

Sebenarnya kalau nak dikupas, ada banyak mekanisme digunakan di sebalik penghasilan sesebuah imej. Algoritma A.I. boleh menggabungkan pelbagai imej berdasarkan parameter dan arahan tertentu, menghasilkan sebuah imej yang baru dan unik. Ia membolehkan A.I. ini belajar dari sumber input yang diberikan, menggunakannya sebagai sumber dan mengaplikasikannya untuk menghasilkan output yang dicari.

 

Ada beberapa algoritma yang dibangunkan khusus untuk menghasilkan imej hanya menggunakan input tekstual sahaja. Antaranya ialah DALL-E 2 oleh OpenAI, Midjourney dan Stable Diffusion. Ia dikira sebagai alat A.I. yang boleh digunakan oleh artis atau sesiapa sahaja untuk menghasilkan karya seni. Penggunaannya semakin popular sejak pertengahan 2022, terutamanya apabila Midjourney beta dibuka kepada orang awam. Midjourney mempunyai kemampuan penghasilan karya yang tinggi dan termaju, dan aku sendiri terkejut dengan seni yang dihasilkan.

 

Tapi Midjourney bukanlah percuma. Berpuluh ribu pengguna mengakses servis mereka melalui bot di platform Discord, menjana berjuta imej sehari, menyebabkan penggunaan kuasa pemprosesan yang tinggi. Bagi menampung kos servis ini, Midjourney membuka langganan bulanan untuk servis mereka. Maka, aku sebagai salah seorang yang terpersona dengan kehebatan Midjourney pun, tanpa segan silu melanggan servis mereka, walaupun aku berkemampuan untuk menghasilkan karya seni aku sendiri.

 

Jadi apa kena mengena kisah Midjourney dengan kerja visualisasi untuk Ramesh tadi?

 

Oleh kerana aku ada berkongsi hasil penerokaan dan permainan dengan Midjourney dengannya, maka aku sengaja mencadangkan kepadanya, “Apa kata kita visualisasikan idea-idea kau ni menggunakan Midjourney A.I?”

Atas persetujuan dia, aku berbincang dengan pelajar-pelajar studioku yang lapan orang itu. Semester baru bermula, jadi projek studio masih di peringkat kajian latar dan kerja-kerja tapak. Oleh kerana Midjourney bakal menjadi tema teras studioku semester ini, aku mula merangka untuk menggunakan projek visualisasi Ramesh ini bagi memperkenalkan mereka dengan fungsi dan potensi sistem penjanaan imej menggunakan kecerdasan buatan (A.I). Dengan pantas mereka bersetuju.

 

Jadi, dengan garis kasar projek dibekalkan oleh Ramesh, aku, lapan orang pelajar beserta dengan Dr. Kamarul, rakan yang bersama-sama meneroka Midjourney bersamaku, memulakan tugas untuk memvisualisasikan projek cadangan Ramesh. Pelbagai imej mula dihasilkan pada petang Rabu, setiap satunya dihasilkan dalam masa 2-3 minit, berpandukan katakunci yang diberikan oleh Ramesh. Dalam masa 24 jam, lebih 400 impresi telah dihasilkan, jauh melampaui 2-3 sketch yang pada awalnya diminta Ramesh.

 

Lalu di pagi Jumaat, gambaran projek-projek tersebut dibentangnya kepada klien. Tengahari itu juga dia memaklumkan kepadaku yang idea cadangannya diterima oleh klien. Berjaya!

 

Di sini kami mula berbual panjang tentang potensi A.I. dalam profesion senibina. Setakat yang kami cuba, A.I. belum boleh menggantikan kemampuan seorang arkitek. A.I. hanya menghasilkan imej berdasarkan algoritma visual, tetapi bukan logik senibina atau senireka. Dalam beratus-ratus imej yang kami hasilkan, ada banyak rekaan yang tak boleh dipakai. Ada yang menunjukkan kerusi terbenam dalam dinding, ada slab konkrit tak disokong oleh tiang, lampu terapung-apung, dinding diperbuat dari rumpai laut, pintu terlalu sempit dan sebagainya.

 

Bagi A.I. tersebut, ia telah berjaya menghasilkan imej berpandukan algoritmanya. Tapi bagi seorang arkitek, semua itu tak boleh dipakai. Kalau ditunjuk juga kepada klien atau pensyarah, memang akan dibakul-sampahkan serta merta. Maka ia menjadi tugas seorang arkitek yang menggunakan A.I. untuk memahami imej yang dihasilkan. Ia mungkin cantik daripada pandangan mata kasar, tetapi setiap perinciannya perlu diamati bagi memastikan tiada kesilapan. Jika ada kesilapan, maka ia perlu diperbaiki kerana bukan semua imej janaan A.I. adalah 100% bebas daripada sebarang kesilapan.

ryjYWA51wEfVsdNcQCTC-ORldwG4yzqAomDHNxrF2qtXdCDaQ1-8iUOxcmFwJrH8f5AeE4eNKBTtF1BBd0mg0ftc07

Apa-apa pun, kami bersetuju bahawa imej janaan A.I. ini mempunyai aplikasi yang meluas dan berpotensi untuk dimanfaatkan oleh firma arkitek dan juga pelajar-pelajar senibina. Ia berkemampuan memendekkan masa visualisasi awal di mana arkitek dan klien biasanya berdialog bagi memastikan idea arkitek setara dengan kehendak klien. Proses yang selama ini mengambil masa beberapa hari kepada beberapa minggu boleh dipendekkan kepada beberapa jam sahaja.

 

Dengan latihan terperinci dan pengalaman mengendalikan A.I. tersebut, seorang arkitek boleh memastikan hasil yang lebih tepat dan jitu dengan pantas. Masa yang dijimatkan boleh digunakan untuk proses merealisasikan rekabentuk tersebut ke peringkat yang seterusnya. Klien juga tidak perlu menunggu lama, membolehkan arkitek memastikan minat klien kekal di peringkat yang tinggi serta mengurangkan kebarangkalian mereka menarik diri daripada projek kerana terlalu panjang.

 

Ya, memang diakui bahawa A.I. masih jauh daripada menggantikan seorang arkitek. Tetapi perbincangan hangat sedang berlaku di media sosial kerana A.I. sudah mula dilihat menggantikan peranan pelukis dan artis visual. Malah dengan potensi visualisasi ini, aku melihat ia berpotensi untuk menggantikan visualizer dalam profesion senibina. Maka aku sarankan, para visualizer patut mula berkenalan dengan penjanaan imej menggunakan A.I. ini.

Ramesh sendiri menyarankan aku untuk menawarkan servis visualisasi ini. Pelajar-pelajar aku juga mengakui bahawa mereka sendiri terkejut dengan kemampuan A.I. sekarang, dan tak sabar untuk menggunakannya di dalam projek pra-tesis masing-masing. Seperti mana B.I.M. merobah profesion senibina di Malaysia awal 2010an dahulu, aku melihat A.I. juga bakal membawa perubahannya tersendiri. Maka nasihat aku: siap sedialah untuk beradaptasi, jangan jadi usang di masa hadapan.

 

Azari Mat Yasir, Ketua Panel Recursive Design Studio, Program Sarjana Senibina UTM.

Penghargaan kepada: Ramesh Seshan, Dr. Kamarul Ariffin Norsadan, Theodora Yio, Man Jun Ming, Denise Lui, Goh Heng Shen, Amirul Aizad Razli, May Xuan Yap, Shajzan Fikri Razali, dan Lim Zhi Wei.


  • White Facebook Icon
bottom of page