top of page
ARC5701_Urban Intervention Report_G4-1_edited.jpg

Technology & Innovation:

TRANSFORMASI RUMAH SAMPAH KE DEWAN KOMUNITI

by Assoc. Prof. Dr. Mohamad Fakri Zaky Ja'afar

[Department of Architecture, Faculty of Design & Architecture, Universiti Putra Malaysia]

Secara amnya dalam praktis senibina, arkitek akan merekabentuk sesebuah bangunan menurut kehendak dan kos yang ditetapkan oleh klien. Jarang sekali terdapat arkitek yang merekabentuk bangunan tanpa menerima sebarang bayaran fi daripada klien atau secara pro-bono. Namun, inisiatif dan penglibatan sekumpulan pelajar Tahun 4 Master Seni Bina, Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam merekabentuk projek Dewan Komuniti di Pangsapuri Program Perumahan Awam (PA) Sri Sarawak, Pudu, Kuala Lumpur secara sukarela memberi inspirasi terhadap kepentingan sumbangan senibina kepada masyarakat. Yang lebih menarik, dewan komuniti yang diubahsuai itu merupakan adaptasi semula sebuah rumah sampah yang terbiar dan tidak digunakan lagi. (Rajah 1 dan Rajah 2).

Pada tahun 2018, mahasiswa tahun 4 Master Senibina yang terdiri daripada Nurain Yazid, Sia Mun Guan, Tan Mei Shan, Chai Pei Jing dan Yong Ii Yan, di bawah bimbingan pensyarah Jabatan Seni Bina UPM, Prof. Madya Dr. Zaky Jaafar, telah diberi tugasan untuk mengenal pasti keperluan komuniti dalam kejiranan tersebut dan mencadangkan sesuatu intervensi yang dapat memenuhi keperluan mereka. Di sinilah cabarannya, iaitu untuk  menyuarakan keperluan komuniti itu yang sebenar, bahkan mungkin tidak disedari oleh komuniti itu sendiri. Dengan kerjasama Pertubuhan Bukan Kerajaan atau  Non-Governmental Organisation (NGO) iaitu My Petaling Jaya (MyPJ), mereka telah dapat menghubungi persatuan penduduk dan agensi-agensi berkaitan antaranya, Think City dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk menjalankan kajian ini di PA Sri Sarawak.

Mereka mengambil masa untuk mendekati, mengenali, dan berbicara dengan pelbagai lapisan komuniti di situ. Idea ini muncul apabila mereka mendapati kawasan perumahan tersebut tidak menyediakan kemudahan ruang awam yang disebut sebagai ruang ketiga (third space) untuk aktiviti santai bagi komuniti di sini. Ruang ketiga merupakan ruang sosial harian selain daripada rumah dan tempat kerja. Ini termasuklah kedai kopi, rumah ibadat atau apa sahaja ruang yang membolehkan komuniti dapat berinteraksi dan melakukan aktiviti bersama secara santai. Kawasan Perumahan Awam Sri Sarawak ini dihuni oleh penduduk yang berbilang bangsa dan agama. Oleh itu, kewujudan suatu ruang awam yang membolehkan aktiviti kemasyarakatan dapat dilaksanakan secara lebih kolektif, terbuka dan melibatkan  pelbagai lapisan masyarakat amat penting dalam memupuk nilai kemasyarakatan dan kejiranan dalam persekitaran bandar.

 

Antara cabaran yang dihadapi pelajar dalam merekabentuk ruang ketiga tersebut ialah untuk mengenalpasti kawasan atau ruang yang sesuai untuk dijadikan ruang ketiga kerana hampir kesemua ruang sedia ada telah digunakan untuk tujuan dan fungsi tertentu. Namun, daripada kajian fizikal, mereka berjaya menemui sebuah struktur usang yang tidak digunakan lagi yang merupakan sebuah rumah sampah yang terletak di bahagian belakang tapak pangsapuri ini. Di belakangnya terdapat sebuah gelanggang badminton yang agak terlindung daripada blok kediaman (Rajah 1). Selain menjadi tempat pembuangan sampah secara haram, ianya turut menyebabkan gelanggang badminton menjadi agak terlindung dan tidak selamat untuk anak-anak kecil bermain. Selain daripada rumah sampah tersebut, terdapat juga sebuah struktur berbumbung yang menjadi stor barang yang agak tidak terurus yang terletak bersebelahannya (Rajah 2). Akhirnya, tercetus idea untuk menjadikan kedua-dua struktur ini sebagai peluang untuk penyelesaian masalah bagi menyediakan ruang ketiga.

Rajah 1: Rumah sampah yang tidak digunakan  dan gelanggang badminton yang tersorok 

(Sumber gambar:Tan Mei Shan) 

Rajah 2: Struktur stor  bersebelahan rumah sampah 

(Sumber gambar: Tan Mei Shan

Semasa proses rekabentuk, mereka mencadangkan dinding rumah sampah itu dibuka dan disambung ke gelanggang badminton di bahagian belakangnya. Bangunan stor pula dicadangkan untuk diubahsuai menjadi dapur komuniti untuk melakukan aktiviti memasak (Rajah 3).

Rajah 3: Cadangan rekabentuk yang  dikemukakan oleh kumpulan pelajar 

(Sumber gambar: Tan Mei Shan

Setelah penyiapan rekabentuk, kumpulan pelajar ini membentangkan konsep rekabentuk tersebut kepada Persatuan Penduduk Pangsapuri Perumahan Awam Sri Sarawak, MyPJ, Think City dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) (Rajah 4 dan Rajah 5). Menyedari potensi cadangan kumpulan pelajar ini, Think City telah bersetuju untuk membiayai pembinaan struktur, manakala pihak DBKL memberikan kelulusan yang  diperlukan untuk kerja-kerja pelaksanaan tersebut. Encik Jeffrey Phang, daripada MyPJ juga adalah antara individu yang banyak membantu dalam merealisasikan projek ini.

Semasa membuat pembentangan cadangan rekabentuk, teknik penyampaian yang efisien perlu digunakan untuk meyakinkan pihak yang terlibat untuk bekerjasama dan menyediakan sumber kewangan bagi menjayakan projek tersebut. Pelajar telah diajar teknik pembentangan NABC dalam kursus ini. Teknik tersebut dihasilkan oleh Stanford Research International, yang terbukti berkesan apabila seseorang ingin memohon dana dalam menjalankan sesuatu projek inovasi. NABC adalah singkatan dari perkataan Need (Keperluan), Approach (Penyelesaian), Benefit (Faedah) dan Competition (Persaingan). Keberkesanan teknik tesebut terbukti apabila para pelajar berjaya meraih dana yang diperlukan daripada Think City dan pihak NGO bagi menjayakan projek ini.

Hasilnya ialah sebuah bangunan terbuka yang menghubungkan blok tersebut dengan ruang rekreasi di belakangnya (Rajah 6). Struktur stor yang terletak bersebelahannya telah diubahsuai menjadi dapur komuniti yang luas dan selesa. Dinding antara kedua struktur ini juga dibuka, menjadikan aktiviti antara dapur dan dewan sangat mudah dijalankan.

 

Sejak bangunan ini diintervensi pada tahun 2020, pelbagai aktiviti komuniti telah dilaksanakan, seperti kenduri-kendara, gotong-royong dan aktiviti sumbangan masyarakat (Rajah 7). Pada bulan Mei 2021, oleh kerana konsep pengudaraannya yang baik, ia telah dijadikan Pusat Saringan Covid-19 untuk penduduk pangsapuri tersebut. Menerusi aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan, jelas kelihatan semangat kejiranan dapat dipertingkatkan dengan adanya pembinaan kedua-dua struktur yang diubahsuai ini.

Rajah 4: Pembentangan cadangan konsep  rekabentuk projek oleh kumpulan pelajar 

(Sumber gambar: Tan Mei Shan) 

Rajah 5: Pihak penduduk turut sama  membentangkan idea kepada pihak NGO & DBKL 

(Sumber gambar: MyPJ) 

Rajah 6: Dewan Komuniti Pangsapuri PA Sri Sarawak 

(Sumber gambar: MyPJ) 

Rajah 7: Majlis Pelancaran Dapur Perpaduan 

Bagi kumpulan pelajar ini, ia merupakan pengalaman berharga dalam pengajian mereka untuk menjadi seorang arkitek (Rajah 8). Selain dari kemahiran melukis dan mereka bentuk bangunan, mereka juga telah mendapat pengalaman mengenali dan menyantuni masyarakat, berinteraksi bersama NGO, mengumpul sumber dan yang paling penting merealisasikan suatu usaha murni yang bermanfaat untuk masyarakat.

Rajah 8: Kumpulan pelajar Master Senibina UPM yang  menjayakan projek ini - dari kiri: Sia Mun Guan, Tan Mei Shan,  Chai Pei Jing, Nurain Mohd Yazid 

(Sumber gambar: Tan Mei Shan) 

For citation purposes: Ja'afar, Mohamad Fakri Zaky. (2021). Transformasi Rumah Sampah ke Dewan Komuniti. D-Zine Trend, Volume 1 (Issue 1). https://www.dzinetrend.com/v1-1-transformasi-rumah-sampah-ke-dewan-komuniti

  • White Facebook Icon
bottom of page