top of page

ESSAY

Write an article

for next issue

drwardah.jpg

Oleh: Wardah Fatimah Mohammad Yusoff

Aliran udara dalam ruang sesebuah bangunan merupakan satu keperluan bagi penghuni kerana pengudaraan yang tidak mencukupi menyumbang kepada pelbagai isu seperti masalah kesihatan dan persekitaran dalaman. Pada masa dahulu, ketika teknologi belum berkembang, penghuni bangunan bergantung kepada aliran udara semula jadi melalui bukaan seperti tingkap, pintu, dan ukiran berlubang. Ini boleh dilihat pada reka bentuk bangunan lama seperti rumah Melayu tradisional. Ketinggian serta bukaan yang luas pada tingkap rumah tersebut, disokong dengan pelbagai ukiran berlubang, telah membolehkan aliran udara yang baik bagi keselesaan penghuni. Namun, perkembangan teknologi telah mendorong kepada penggunaan bantuan peralatan mekanikal dalam pengudaraan bangunan seperti kipas dan pendingin hawa. Jika suatu masa dahulu, penggunaan pendingin hawa dikaitkan dengan taraf kemampuan ekonomi penghuni atau pemilik bangunan, namun kini, penggunaannya semakin meluas dalam mencapai keselesaan terutamanya bagi negara beriklim panas. Penggunaan secara meluas pendingin hawa telah memberi kesan positif dan negatif dalam pelbagai aspek.  Kesan positif adalah memberikan keselesaan kepada penghuni iaitu suhu dan aliran udara dalam bangunan boleh dilaraskan mengikut keperluan. Manakala kesan negatif pula adalah kepada penggunaan tenaga elektrik yang tinggi, serta boleh menjejaskan kesihatan penghuni jika pendingin hawa tersebut tidak diselenggarakan dengan baik. 

Sejak krisis tenaga dunia pada tahun 1970-an, telah timbul kesedaran terhadap kepentingan penjimatan penggunaan tenaga elektrik dalam bangunan. Selain daripada krisis tenaga, gerakan hijau juga dipertingkatkan bermula sekitar 1970-an, dengan sambutan Hari Bumi yang pertama pada 22 April 1970. Kini, Hari Bumi disambut oleh 192 negara di seluruh dunia termasuk Malaysia [1]. Atas kesedaran terhadap penjimatan tenaga dan kepentingan memelihara alam sekitar, pengudaraan semula jadi dititikberatkan semula dalam reka bentuk bangunan. Bagi bangunan kediaman, kaedah pengudaraan semula jadi yang digunakan adalah sama seperti dahulu iaitu melalui bukaan tingkap, pintu dan ukiran berlubang. Namun, bagi bangunan yang tinggi dan berkeluasan besar seperti bangunan perniagaan dan pejabat, kaedah pengudaaran semula jadi adalah tidak terhad kepada bukaan seperti pintu dan tingkap sahaja. Pengudaraan semula jadi melalui bukaan pintu, tingkap dan lubang udara dibantu oleh pelbagai kaedah lain seperti telaga udara, lompang udara dan atrium separa terbuka. Antara contoh bangunan yang mengaplikasikan kaedah tersebut di Malaysia adalah pusat membeli-belah Bangi Gateway yang terletak di Bandar Baru Bangi, Selangor. Kawasan tengah pusat membeli-belah tersebut mempunyai atrium separa terbuka yang dikelilingi oleh kedai. Terdapat beberapa laluan pejalan kaki yang menghubungkan bahagian luar bangunan dengan kawasan atrium tersebut. Reka bentuk ini membolehkan pengudaraan silang dan pengudaraan ‘stack’ berlaku. 

 

 

Bagi menggalakkan pengudaraan semula jadi, reka bentuk bangunan perniagaan dan pejabat juga telah dipelbagaikan. Jika dahulu, reka bentuk lazim adalah satu blok bangunan yang besar dan menempatkan banyak ruang, namun kini reka bentuk yang mempunyai beberapa blok telah diaplikasi dengan meluas. Reka bentuk yang mempunyai beberapa blok kecil membolehkan pengudaraan semula jadi yang lebih berkesan berbanding satu blok besar. Ini kerana kaedah pengudaraan silang yang lebih berkesan dalam meningkatkan halaju udara berbanding kaedah pengudaraan satu sisi [2] dapat diaplikasikan dengan lebih meluas. Evolusi reka bentuk bangunan perniagaan daripada satu blok kepada beberapa blok juga dapat dilihat pada bangunan pusat membeli-belah di Malaysia. Evolusi reka bentuk pusat membeli-belah di Malaysia boleh dibahagikan kepada dua fasa, iaitu fasa sebelum tahun 2000, dan fasa selepas tahun 2000. Sebelum tahun 2000, kebanyakan pusat membeli-belah dibina dengan pendekatan tertutup, iaitu mempunyai satu blok besar, dengan mengaplikasikan pengudaraan mekanikal sepenuhnya iaitu Sistem Penyaman Udara Berpusat. Antara contoh pusat membeli-belah tersebut ialah Plaza Sungei Wang dan Lot 10 yang terletak di Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Namun selepas tahun 2000, kebanyakan pusat membeli-belah dibina dengan pendekatan yang lebih terbuka dengan mempunyai beberapa blok serta menggunakan gabungan pengudaraan semula jadi dan mekanikal, atau lebih dikenali sebagai pengudaraan hibrid. Antara contoh pusat membeli-belah tersebut ialah Tamarid Square yang terletak di Cyberjaya, Selangor [3]. 

Pengudaraan hibrid pada bangunan adalah lebih berkesan dalam memastikan keselesaan penghuni. Pengudaraan hibrid ini tidak terhad kepada pendingin hawa sahaja, namun ia juga merangkumi pengunaan kipas mekanikal. Bagi mencapai keselesaan terma penghuni bangunan, halaju aliran udara memainkan peranan penting. Ini kerana keadaan iklim di Malaysia yang panas dan lembap, memerlukan halaju udara yang tinggi bagi menggalakkan pemindahan haba melalui penyejatan daripada badan manusia ke persekitaran. Penggunaan kipas mekanikal untuk pengudaraan hibrid adalah lebih membantu penjimatan tenaga elektrik berbanding penggunaan pendingin hawa. Pada tahun 2019, dunia telah dilanda pandemik SARS-CoV-2 atau lebih dikenali sebagai COVID-19. Penyebaran virus tersebut yang melalui udara dan titisan cecair telah menyebabkan pengudaraan dalam bangunan sangat dititikberatkan. Kebanyakan pengguna bangunan pada masa tersebut memilih untuk berada di ruang terbuka yang mempunyai aliran udara semula jadi berbanding ruang tertutup yang menggunakan sistem pendingin hawa. Ini kerana aliran udara semula jadi di ruang terbuka membantu mengurangkan kepekatan partikel virus COVID-19 dalam udara dan seterusnya, mengurangkan kadar penularan virus tersebut [4]. Atas kesedaran inilah, serta disokong oleh keperluan penjimatan tenaga elektrik, masyarakat kini mula mengambil berat tentang penggunaan pengudaraan semula jadi dalam bangunan. Kerajaan juga perlu memainkan peranan dalam mempertingkatkan lagi aplikasi pengudaraan semula jadi dalam bangunan. Walaupun dalam Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 telah terdapat klausa yang mensyaratkan peratusan pengudaraan semula jadi bagi sesuatu ruang, namun jumlah peratusan yang ditetapkan perlu dipertingkatkan. Selain itu, ahli akademik dan pihak yang terlibat dalam industri alam bina perlu sentiasa meneroka strategi dan inovasi baru yang menggalakkan aplikasi pengudaraan semula jadi pada bangunan. 

 

[1] Jabatan Alam Sekitar (2023). Hari Bumi. https://www.doe.gov.my/komunikasi-pendidikan-dan-kesedaran-awam-cepa/hari-bumi/. Dirujuk pada 1 Disember 2023. 

[2] C. F. Gao and W. L. Lee. 2011. Evaluating the Influence of Openings Configuration on Natural Ventilation Performance of Residential Units in Hong Kong. Building and Environment. 46(4): 961-969. https://doi.org/10.1016/j.buildenv.2010.10.029.

[3] Yusoff W.F.M. Zinnirah Wellun Z., Norzelan N.F., “Post-COVID-19 Ventilation Strategies for Shopping Malls in Hot Humid Climate”, The 2nd International Conference on Civil Infrastructure and Construction (CIC 2023), Doha, Qatar, 5-8 Februaryn 2023, DOI: https://doi.org/10.29117/cic.2023.0136

[4] Kumar, P. & Morawska, L. 2019. Could fighting airborne transmission be the next line of defence against COVID-19 spread? City and Environment Interactions 4: 100033. doi:10.1016/j.cacint.2020.100033.

Bulldos-Decathlon-01.png

Advertisement

  • White Facebook Icon
bottom of page