top of page

"TAN

Essay:

TANJAK

by Ar. Mohd Azli Mohamad Jamil

[Department of Architecture, Faculty of Design and Architecture, Universiti Putra Malaysia]

ESSAY

Write to us an article

of your interest

Pengenalan

Tanjak atau singkatan kepada “Tanah yang dipijak” adalah pemakaian hiasan di kepala yang melambangkan sifat dan karakter pemakainya. Ia adalah satu seni hiasan yang diperbuat daripada kain dan diolah menggunakan tangan. Tanjak umumnya dibuat daripada bahan khas yang berkualiti tinggi, biasanya kain songket. Hampir semua negara mempunyai hiasan di kepala ini dan rekabentuknya memberi maksud tersendiri.

 

Suatu ketika dahulu, kain pelangi yang dihiasi dengan habuk emas digunakan serta dihiasi dengan kerongsang dan permata emas yang melambangkan status sosial pemakainya. Pakaian tradisional ini digayakan pada majlis-majlis khas seperti majlis perkahwinan dan upacara pertabalan Raja atau Sultan. Dengan demikian, semasa penobatan Raja atau Sultan yang baru, tengkolok berkenaan dikaitkan dengan lambang kerajaan Melayu (Mutalib, 2020).

 

Penggunaan tengkolok dalam masyarakat Melayu adalah elemen pakaian yang penting dan dibuktikan dalam beberapa manuskrip lama. Buku Sejarah Melayu juga menyatakan bahawa Sultan melarang memakai cara Bangsa dari India dan oleh itu penggunaan kain Melayu telah digunakan dalam pemakaian Raja Melayu. Raja Melayu juga memakai pakaian Raja Melayu lengkap dengan bertengkolok dan berbaju sarung untuk ke Masjid. (Iskandar, 2018). Penggunaan tengkolok oleh bangsawan bertujuan untuk membezakan statusnya.

Destar adalah nama am bagi hiasan di kepala. Ianya telah digunakan sejak zaman dahulu lagi oleh bangsa Melayu. Perhiasan atau alat di kepala tidak dinamakan destar seperti topi keledar, topi besi perang, topi keselamatan atau topi basikal. Contoh destar di alam Melayu juga dipanggil Tengkolok, Tanjak, Semutar, Getam dan Tengkolok perempuan.

Tanjak

Tanjak adalah hiasan yang diperbuat daripada kain dan wajib mempunyai tapak, simpul, bekung dan solekan atau karangan. Bentuk asal kain ialah segiempat sama yang dilipat dua menjadi segitiga dan membawa maksud ‘gunungan’. Hanya lelaki sahaja boleh memakai tanjak dan boleh juga disebut tengkolok atau destar (Iskandar, 2018).

Pada wang kertas Ringgit Malaysia terdapat gambar tanjak Yang di-Pertuan Agong pertama Malaysia, Al-Marhum Tuanku Abdul Rahman Ibni Al-Marhum Tuanku Muhammad. Karangannya dinamakan Dendam Tak Sudah yang berasal dari Negeri Sembilan. Tanjak adalah simbol yang mewakili Tanah Orang Melayu. Ianya tertulis dalam salah satu ayat daripada Laksamana Hang Tuah iaitu “ …dan dijunjung orang Melayu itu hanya ada tiga perkara, Al-Quran, keris, tanjak….Maruah maruah maruah”. Pemakaian tanjak juga membawa maksud bahawa pemakai mengaku Tanah Melayu adalah asal usul tempat orang Melayu (Iskandar, 2018).

 

Terdapat beberapa fungsi dan kegunaan tanjak bagi pemakainya, antaranya ialah sebagai:

  •  Simbolik Bangsa, Keturunan, Kerajaan

  • Taraf dan kuasa

  • Hiasan kepala

  • Mengemeaskan rambut yang panjang atau menghias rambut

  • Adat istiadat

  • Upacara keagamaan

  • Menghalang peluh dari turun ke mata

  • Pelengkap pakaian melayu

  • Identiti pemakai


Tanjak juga mempunyai erti atau sifat iaitu terbahagi kepada empat (4):

  • Sombong / Garang / Tegas

  • Duka / Sedih / Sabar

  • Megah / Mewah

  • Bunga / Cinta

 

Rekabentuk tanjak berdasarkan sifat juga memberi semangat kepada pemakainya. Contoh penggunaan tanjak duka ialah pada majlis pengkebumian atau melawat pesakit, ia tidak sesuai untuk menunjukkan kesombongan atau kemegahan. Pemakaian tanjak seharusnya sesuai dengan majlis yang akan dihadiri (Iskandar, 2018).

Cara Pemakaian Tanjak

Cara pemakaian tanjak juga membawa maksud-maksud yang berlainan. “Balik Adat” ialah gelaran kepada sesiapa yang tidak tahu cara pemakaian tanjak dengan betul. Cara pemakaian tanjak yang betul ialah dengan aras bawah tanjak 2 jari dari kening mata. Simpulan perlu berada di atas telinga kanan dan karangan secara langsung menghala ke kiri hingga belakang kepala. Tanjak untuk rakyat biasa adalah dengan karangan menghala ke kiri manakala bagi ketua, Sultan atau Raja Sehari dengan karangan menghala ke kanan. Dengan pemakaian simpul di bahagian hadapan dan karangan menghala ke belakang kepala bermaksud ianya untuk penglipur, penyanyi, pelakon atau penghibur. Tetapi jika karangan menghala ke hadapan, bermaksud pemakai berada dalam keadaan perang (Azmi et al., 2020).

Nakhoda Trong
Anderiguru Selebu
Takur Tukang Besi
Mahkota Alam
Cogan Daun Kopi
Ajutan Bingas
Putera Kayangan
Balong Ayam
Tok Beruas

Kesimpulan

Kebelakangan ini, Tanjak semakin mendapat perhatian memandangkan ramai yang memakainya pada hari keramaian. Selain dipakai oleh Pengantin Lelaki semasa majlis persandingan, ianya juga dipakai semasa perayaan Aidilfitri dan juga di majlis-majlis rasmi.  Terdapat juga tanjak dengan rekabentuk baharu yang bukan merupakan karangan warisan dijual di pasaran yang menjadi pilihan pembeli. Kita haruslah mewarisi seni pembuatan tanjak daripada guru yang terlatih bagi meneruskan legasi warisan tanjak turun temurun agar ia tidak ditelan zaman.

Rujukan

Azmi, U., Syam, E., & Aris, Q. I. (2020). Pengenalan Pemakaian Tanjak Melayu Pada Mahasiswa Sastra Daerah Fakultas Ilmu Budaya. BIDIK: Jurnal Pengabdian Kepada Masyarakat, 1(1), 1–12. https://doi.org/10.31849/bidik.v1i1.5062

Iskandar, J. (2018). Destar Alam Melayu.

Mutalib, N. A. (2020). Tengkolok as a Traditional Malay Work of Art in Malaysia : An Analysis of Design. 7(19), 5141–5149.

For citation purposes: Mohamad Jamil, Mohd Azli. (2021). Tanjak. D-Zine Trend, Volume 1 (Issue 1). https://www.dzinetrend.com/v1-1-tanjak

  • White Facebook Icon
bottom of page